TIADA siapa dapat menafikan khasiat susu ibu yang sememangnya mengandungi limpahan khasiat dan nutrisi yang diperlukan bayi. Bagaimanapun hari ini, banyak faktor menggoyahkan prinsip ibu untuk terus menyusukan anaknya secara eksklusif selama enam bulan pertama kelahiran atau dilangsungkan kepada 24 bulan.
Antaranya, ibu tidak mendapat maklumat secukupnya mengenai penyusuan, apatah lagi kehadiran susu formula yang memudahkan urusan serta persekitaran yang tidak menggalakkan.
Justeru, saban tahun kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) merangka program menjadikan penyusuan itu terus relevan dan dipraktikkan wanita tanpa batasan atau larangannya, kerana salah tanggapan terhadap penyusuan ibu memberikan pengaruh besar kepada kesihatan bayi.
Kajian membuktikan lebih dua juta kematian membabitkan kanak-kanak berusia sebulan hingga kurang usia lima tahun, boleh dielakkan apabila berlaku sentuhan kulit ke kulit menerusi penyusuan ibu. Kebanyakan pakar pemakanan menyifatkan dua tahun pertama usia seorang bayi sebagai ‘tempoh kritikal’ kerana kualiti nutrien yang diberi kepada bayi akan menentukan pertumbuhan dan pembesaran berkekalan sepanjang hayat.
Dalam usaha menggalakkan pemakanan bayi yang lebih baik, program ‘Mother’s Smart Choice (MSC) dilancarkan hasil usaha sama Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Persatuan Paediatrik Malaysia (MPA), Persatuan Obstetrikal & Ginaekologikal Malaysia (OGSM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang turut disokong Philips Avent Malaysia.
Menurut Pengerusi Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee E Siong, pelancaran itu menandakan inisiatif permulaan pemakanan bayi yang penting bagi mendidik dan menggalakkan golongan ibu di Malaysia menyediakan nutrisi yang baik untuk bayi baru lahir serta anak kecil mereka.
“Adalah penting memastikan anak kita diberikan makanan berkhasiat sejak dilahirkan. Dengan permulaan betul, kita mampu mengurangkan risiko jangkitan penyakit berkaitan pemakanan di kalangan anak yang membesar.
“Selain itu, amalan baik ini mampu memupuk tabiat pemakanan sihat yang akan menjadi asas gaya hidup sihat sepanjang masa,” katanya sewaktu ditemui media di Sunway Resort &Spa, baru-baru ini.
MSC juga akan melaksanakan aktiviti seiring usaha kerajaan menjana generasi Malaysia yang sihat pada masa depan.
Pada peringkat awal, MSC bercadang menjadikan golongan ibu di negara ini sebagai kumpulan sasar dengan memperkasakan mereka melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran praktikal bagi membekalkan makanan berkhasiat kepada anak mereka.
Program ini akan dijalankan dalam beberapa peringkat dengan penyusuan ibu sebagai fokus fasa pertama, manakala fasa kedua ditumpukan pada penyusuan susu ibu dan pemberian makanan pelengkap yang sesuai dengan kanak-kanak berusia enam hingga 12 bulan.
Fasa ketiga pula tumpuan akan diberi terhadap makanan berkhasiat yang betul untuk anak kecil berusia 13 hingga 24 bulan yang meliputi penyusuan ibu, pilihan makanan pelengkap bayi serta makanan sihat yang disediakan di meja.
Tambah Dr Tee, penyusuan ibu dijadikan fokus utama program MSC kerana ia sumber pemakanan terbaik untuk tumbesaran optimum bayi.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bayi harus diberi susu ibu secara eksklusif buat enam bulan pertama sejak dilahirkan.
Malah, WHO turut menegaskan bahawa kolostrum (susu ibu yang berwarna kekuningan dan lekit) yang dihasilkan pada fasa akhir kehamilan adalah makanan terbaik untuk bayi baru lahir dan untuk itu pemakanan hendaklah dimulakan pada jam pertama selepas bayi dilahirkan.
“Selepas enam bulan pe- nyusuan badan hendaklah diteruskan bersama makanan pelengkap yang sesuai sehingga anak itu berusia dua tahun.
“Walaupun ada banyak manfaat susu ibu, bilangan ibu yang melakukannya jauh lebih rendah daripada yang diharapkan.
“Kajian kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ketiga (2006) menunjukkan peningkatan bilangan ibu yang memberikan susu kepada anak mereka.
“Pun begitu, bilangan ibu yang hanya memberikan susu ibu pada empat bulan pertama usia bayi mereka berkurangan sebanyak 9.7 peratus, malah menurut kajian sama, Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang paling rendah daripada segi penyusuan susu ibu secara eksklusif,” katanya.
Bagi menyokong usaha menggalakkan budaya penyusuan ibu selanjutnya, MSC juga akan menerbitkan buku panduan percuma berjudul Breastfeed With Confidence (Menyusu Dengan Yakin) di samping menganjurkan beberapa siri ceramah mengenai penyusuan susu ibu secara percuma untuk jururawat di hospital dan klinik bersalin negara ini.
Buku panduan ini mengandungi maklumat berguna membantu ibu mengenai cara mengenai cara penyusuan yang betul meskipun selepas mereka kembali bekerja.
Ia akan diedarkan kepada wanita hamil melalui hospital dan klinik, manakala ceramah diadakan bertujuan melatih jururawat membantu ibu mengenai penyusuan ibu pada peringkat awal selepas melahirkan bayi mereka.
Bagi meningkatkan kesedaran mengenai buku ini, MSC akan mengeluarkan poster mengandungi maklumat mengenai cara mendapatkan buku panduan ini yang akan diletak di hospital seluruh negara.
Sementara itu, Pengerusi LPPKN, Tan Sri Napsiah Omar berkata, penyusuan adalah sumber makanan terbaik bagi pertumbuhan yang optimal dan tumbesaran bayi.
Katanya, selepas enam bulan pertama, penyusuan perlu diteruskan di samping makanan pelengkap lain hingga bayi berusia dua tahun.
“Ia juga adalah cadangan Kementerian Kesihatan yang terkandung dalam panduan pemakanan 2010. Kepentingan penyusuan susu ibu tidak boleh diperkecilkan. Susu ibu juga membantu mengukuhkan sistem imuniti serta selain menghalang melindungi mereka daripada penyakit.
“Hasil penyelidikan dilakukan WHO menunjukkan susu ibu mampu menghalang 13 peratus kematian yang berlaku di kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun di seluruh dunia,” katanya kepada media.
Selain faedah kepada bayi, ia juga memberi banyak manfaat kepada ibu, misalnya mampu menjarakkan kehamilan, membantu mengembalikan bentuk asal rahim serta mengurangkan risiko pendarahan, malah paling utama ia mampu membakar kira-kira 500 kalori yang jumlahnya bersamaan sesi aerobik selama dua jam.
LPPKN turut menyediakan perkhidmatan perancang keluarga di 56 klinik seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. Penyusuan ibu juga mampu merapatkan hubungan intim antara ibu dan anak.
Dengan kemudahan dan teknologi masa kini, tiada alasan untuk ibu di Malaysia tidak menyusukan anak mereka. Selain itu, ada juga wanita yang salah faham mengenai penyusuan ibu, misalnya sukar menyusukan di tempat awam selain sukar membekalkan susu yang cukup kepada bayi mereka.
Kebaikan susu ibu
Susu ibu mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi dan berubah mengikut umur dan keperluan bayi. Ia mudah dihadam dan digunakan oleh bayi dengan berkesan serta melindungi bayi daripada penyakit, mengandungi antibodi, faktor tumbesaran, enzim dan tiada pencemaran.
Contohnya bagi bayi yang dilahirkan pra-matang, susu ibu yang dihasilkan sesuai untuk perkembangan bayi. Ia kurang laktosa, lebih protein, Laktoferrin dan Imunoglobulin untuk mencegah alahan dan jangkitan.
Susu awal ibu atau dikenali sebagai kolostrum berwarna kekuningan pula adalah makanan pertama yang sempurna bagi bayi dan mengandungi pelbagai kebaikan.
Antaranya mengeluarkan mekonium (najis bayi pada awal kelahiran), mencegah penyakit kuning (jaundis), melindungi bayi daripada jangkitan dan alahan (susu ibu kaya dengan antibodi dan sel darah putih), mencegah jangkitan dan penyakit mata (kaya dengan vitamin A dan E), mengandungi faktor pertumbuhan bagi kematangan usus, sekali gus mencegah alahan, dan bertindak sebagai imunisasi pertama untuk menentang bakteria dan virus.
Jika bayi diberikan makanan lain sebelum dia diberikan kolostrum, makanan itu mungkin boleh merosakkan usus dan menyebabkan alahan.
Selain itu, susu ibu melindungi bayi daripada kolik, lelah, penyakit kulit, hidung dan alahan kepada makanan, mengurangkan penyakit seperti batuk, jangkitan telinga, bronkitis, pneumonia, meningitis dan cirit-birit.
Ia juga mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis, kanser dan obesiti kanak-kanak di kemudian hari.
Selain itu, susu ibu mengurangkan risiko sindrom kematian bayi, masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang.
Berikut adalah panduan yang boleh diikuti ibu untuk penyusuan yang berjaya:
Amalan positif
Amalan negatif
Susu ibu yang diperah boleh disimpan untuk diberikan pada bayi sepanjang ketiadaan ibu bersama bayi. Susu ibu mengandungi sel hidup, oleh itu susu ibu yang diperah perlu disimpan dengan kaedah yang betul untuk memastikan kandungan nutriennya terpelihara dan tidak musnah. Susu ibu sebenarnya mempunyai bahan anti-bakteria yang membolehkannya kekal segar dan tahan lama.
Bekas yang sesuai untuk menyimpan susu perahan:
- bekas plastik atau botol susu bebas BPA (Bisphenol-A)
- bekas kaca atau bekas plastik berbucu keras (seperti Tupperware)
- breast milk storage liners yang memang dikhususkan untuk menyimpan perahan susu ibu
- Di dalam suhu bilik (19 hingga 26 °C), tahan sehingga 4 jam
- Di dalam bekas penyejuk (cooler bag/box) (kurang 4 °C), tahan sehingga 12-24 jam
- Di dalam peti sejuk (kurang 4 °C), tahan sehingga 7 hari
- Di dalam peti sejuk bahagian beku (-18 hingga -20 °C), tahan antara 3 hingga 6 bulan
- bekas penyimpanan susu hendaklah dibasuh dengan bersih menggunakan sabun, dibilas dengan air didih dan dikeringkan dengan sempurna sebelum digunakan
- catatkan tarikh perahan pada bekas susu sebelum menyimpannya
- simpan susu dalam kuantiti mencukupi untuk 1 kali penyusuan untuk 1 bekas, contohnya 2 – 4 oz sahaja setiap bekas
- jangan penuhkan bekas sehingga ke penutupnya, tinggalkan sedikit ruang untuk membolehkan pengembangan berlaku apabila susu dibekukan
- susu yang hendak dibekukan sebaiknya hendaklah disimpan di bahagian sejuk terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke bahagian beku peti sejuk
- jangan simpan susu perahan di bahagian pintu peti sejuk kerana suhu di bahagian pintu tidak stabil (kerana kekerapan membuka dan menutup pintu peti sejuk)
- sebaiknya simpan susu perahan di bahagian paling atas dan paling dalam kerana suhunya lebih stabil dan malar
- jika menggunakan bekas penyejuk (cooler bag) pastikan ice pack yang digunakan mencukupi, ganti jika perlu dan kurangkan kekerapan membuka bekas penyejuk
Maklumat Tambahan
(berdasarkan soalan-soalan yang dikerap ditanya di dalam komen-komen di bawah)1. Susu yang diperah di pejabat boleh disimpan di dalam peti sejuk di pejabat (jika ada) dan dibawa balik menggunakan cooler bag yang berisi ice pack yang mencukupi untuk perjalanan pulang ke rumah (walaupun perjalanan ke rumah hanya 10 minit, pastikan susu perahan kekal sejuk). Sampai di rumah, bolehlah pindahkan ke peti sejuk di rumah sama ada hendak letakkan di bahagian bawah (sejuk biasa) atau di bahagian atas (freezer). Tidak digalakkan membekukan susu semasa di pejabat kerana susu beku lebih sukar diuruskan (kerana kita perlu memastikan ia dibawa balik dalam keadaan beku dan tidak boleh mencair walaupun sedikit).
2. Jika susu beku sudah mencair (walaupun sedikit), susu tersebut tidak boleh lagi dibekukan semula. Ia perlu disimpan di bahagian bawah (bhg sejuk biasa) malah perlu dihabiskan (digunakan) dalam tempoh 24 jam dari masa ia mula mencair.
3. Susu perahan lebih baik disimpan di bahagian sejuk biasa berbanding bahagian beku (freezer) jika susu perahan itu adalah stok untuk beberapa hari. Sekiranya pada hari ke-5 susu perahan tersebut belum digunakan maka bolehlah naikkannya ke bahagian beku untuk memanjangan tempoh hayatnya.
4. Susu perahan yang dibekukan akan kehilangan beberapa nutrien dan antibodi akibat proses pembekuan namun komposisinya masih JAUH LEBIH BAIK berbanding susu formula. Oleh itu ibu perlu memberi susu segar (secara direct feeding), susu perahan yang disejukkan dan susu perahan yang dibekukan untuk mengimbangi keperluan nutrien dan antibodi bayi.
5. Susu perahan yang telah dipanaskan, diberikan kepada bayi tetapi tidak habis diminum. Ibu-ibu masih boleh menyimpan susu tersebut ke dalam peti sejuk semula untuk penyusuan berikutnya (anggaran masa tidak lebih dari 2 jam). Jika pada penyusuan kedua tidak juga dihabiskan maka susu tersebut perlu dibuang.