Ilmu dan kepandaian itu adalah sahabat yang setia dalam hidup sampai kepada penghabisan umur

Tuesday, 12 April 2016

Apa itu El Nino?

Apakah yang dimaksudkan dengan El Nino? Ramai orang yang mengeluh akibat cuaca panas dan kering yang berlaku sekarang ini. Apakah punca yang sebenarnya berlakunya fenomena panas ini? Menurut Kenyataan Media YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi pada 8 Januari 2016, cuaca panas di Malaysia akan berterusan sehingga Mac 2016. Kejadian ini berlaku di sebabkan oleh Fenomena El Nino kuat yang sedang berlaku ketika ini. Apakah sebenarnya El Nino?
Apa Itu El Nino?
Menurut laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), El Nino adalah Fenomena lautan yang berlaku setiap dua ke tujuh tahun di mana arus laut yang panas akan menggantikan arus laut yang kebiasaannya sejuk di luar pantai barat Peru, Amerika Selatan. Pemanasan lautan ini didapati berlaku di kawasan yang lebih luas meliputi Pasifik tengah dan timur serta mempunyai kaitan dengan peristiwa cuaca luar biasa yang ketara di tempat-tempat tertentu di dunia seperti banjir yang teruk dan kemarau yang berpanjangan. Di Asia Tenggara, Indonesia dan Australia, berlaku keadaan cuaca lebih kering dari normal sementara di Pasifik tengah dan timur berhampiran khatulistiwa kebiasaannya mengalami keadaan lembap.
Secara lazimnya, El Niño berlaku untuk tempoh 6 hingga 18 bulan. Biasanya ia terbentuk pada pertengahan tahun, berada di kemuncak pada akhir tahun dan menjadi lemah menjelang awal tahun berikutnya. El Niño yang mempunyai keamatan yang sama tidak semestinya menghasilkan corak iklim yang sama. Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), El Nino adalah keadaan lebih panas dari biasa yang berpanjangan di kawasan tropika di tengah dan timur lautan Pasifik, dengan nilai Oceanic Niño Index (ONI) adalah 0.5°C atau lebih untuk sekurang-kurangnya 5 bulan ONI berturut-turut. ONI adalah Purata untuk 3 bulan berturut-turut anomali suhu permukaan laut (Sea Surface Temperature, SST) di kawasan NINO 3.4 dikira setiap bulan dan diguna pakai sebagai petunjuk fenomena El Nino. Menurut Wikipedia, El Nino merupakan fenomena fasa berlawanan putaran iklim semula jadi yang dikenali sebagai Getaran Selatan El-Nino (El Nino-Southern Oscillation - ENSO). Fenomena lautan-atmosfera ini merujuk kepada perubahan besar kepada suhu permukaan laut merintangi timur pasifik tropika. "El Nino" dalam bahasa Sepanyol bermakna "anak lelaki" manakala "La Nina" pula bermakna "anak perempuan".
Kesan/ Impak El Nino
Berikut diantara kesan atau impak berlakunya El Nino terhadap sesuatu kawasan :-
Keadaan kering yang luar biasa di Malaysia, Indonesia, Filipina dan utara Australia.
Cuaca yang lebih panas dan kering juga berlaku di tenggara Afrika, India dan utara Brazil.
Cuaca lebih lembap pula berlaku di sepanjang pantai barat kawasan tropika Amerika Selatan dan pantai teluk di Amerika Utara.
Impak El Nino kepada negara secara umumnya boleh menyebabkan jumlah hujan diterima akan berkurangan, terutamanya bagi Sabah dan Sarawak.
El Nino juga boleh menyebabkan cuaca menjadi lebih panas dan kering yang seterusnya memudahkan berlakunya kebakaran hutan yang boleh menyebabkan kejadian jerebu tebal merentasi sempadan yang akan memberi kesan terutamanya terhadap kesihatan, aktiviti luar dan pertanian.
Itulah El Nino, fenomena alam masa kini. Walaupun fenomena kepanasan ini tidak dikaitkan dengan aktiviti manusia di muka bumi, aktiviti lain seperti penebangan hutan secara tidak terkawal, pencemaran industri, penggunaan bahan bakar fosil secara berleluasa dan pelepasan gas rumah hijau hendaklah dikawal. Aktiviti tidak sihat ini adalah antara contoh "kerosakan‟ yang dilakukan manusia hingga memberi kesan terhadap bumi.

No comments:

Post a Comment