Ilmu dan kepandaian itu adalah sahabat yang setia dalam hidup sampai kepada penghabisan umur
Wednesday, 13 February 2019
Apa itu Lipoma? Sejenis benjolan kecil yang membesar secara perlahan-lahan
KETULAN atau benjolan berbentuk bulat sama ada kecil atau besar yang tumbuh antara permukaan kulit dan lapisan otot boleh membuatkan seseorang itu rasa kurang selesa.
Lazimnya, lipoma tumbuh di beberapa bahagian badan seperti tangan, kaki, bahu dan belakang leher, malah ada di dalam organ badan.
Walaupun tidak terasa sakit apabila ditekan, namun ada yang bimbang dan beranggapan ketulan itu terus membesar hingga boleh menyebabkan barah.
Pakar Bedah Endo-Laparascopic, Sri Kota Specialist Medical Centre, Dr K Anantha, berkata ketulan yang terbentuk daripada sel lemak atau tisu adipose dipanggil lipoma.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak berbahaya tetapi lipoma yang tumbuh dalam sistem gastrointestinal sehingga menyebabkan penyumbatan dalaman usus boleh mengancam nyawa.
"Lipoma tidak dikategori sebagai tumor sebaliknya benjolan itu boleh berkembang dan membesar secara perlahan pada tubuh yang ada sel-sel lemak.
"Kebanyakan lipoma bukan barah, walaupun ada percanggahan pendapat mengenai lipoma yang dipercayai boleh menjadi barah," katanya.
Dr Anantha berkata, lipoma tidak berbahaya dan hanya satu peratus dideritai oleh orang dewasa dan jarang dihidapi dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.
Bagaimanapun, jika ada individu dikesan ia adalah berkaitan dengan simptom lain seperti penyakit keturunan yang dipanggil lipomatosis.
Selalunya orang dewasa, seawal usia 25 tahun berisiko mendapat lipoma manakala lebih kerap berlaku pada individu berumur 35 tahun ke atas.
Lipoma boleh tumbuh dan membesar bersaiz satu hingga tiga sentimeter mengikut ukuran diameter, kemudian ia membesar secara perlahan setiap bulan atau tahun.
Dr Anantha menjelaskan proses itu boleh berhenti sekiranya ia tidak normal tetapi boleh menjadi besar.
"Lipoma boleh berkembang di bawah fascia atau selaput otot yang lebih mendalam dikenali sebagai sub-fascial.
"Selain hanya di kawasan permukaan kulit di badan, lipoma juga boleh tumbuh di bahagian dalam badan seperti tekak, dalam perut dan usus kecil dan paru-paru.
Beliau berkata, lipoma boleh wujud di dalam hati dan tulang, namun jumlahnya sangat sedikit dan jarang dilaporkan.
"Tiada punca atau mekanisma tertentu yang menyebabkan lipoma. Kadang kala, ia juga boleh disebabkan oleh penyusunan semula gen kromosom iaitu 12 kromosom.
"Lipoma yang tumbuh berdekatan dengan saraf seperti jenis Intradermal Spindel Cell Lipoma atau Nerve Shift Lipoma akan menyebabkan individu rasa sakit kerana ia menekan saraf," katanya.
Pesakit boleh mengesan tanda awal perkembangan lipoma dengan merasa ada bengkak sebesar satu sentimeter ketika mandi.
"Kebanyakan benjolan itu tidak sakit tetapi apabila ditekan kesakitannya hanya pada tahap minimum," katanya.
Dr Anantha menasihatkan mereka yang mengalami kesukaran bernafas mungkin ada lipoma pada paru-paru dan jantung.
Bagi lipoma yang timbul di dalam saraf, tanda awal boleh dikesan apabila terasa sakit pada sendi.
Lipoma juga boleh dilihat di bahagian organ endokrin, tiroid, kelenjar adrenal, pankreas dan kelenjar paratiroid.
"Penyakit ini boleh dikekang dengan mengawal berat badan dan memastikan tidak ada sel lemak berlebihan dalam tubuh," katanya.
Beliau menyarankan membuang lipoma yang semakin membesar khususnya, di bahagian yang lembut dan membesar dengan cepat serta menjadi keras untuk mengelak kanser.
INFO
* Lipoma bersaiz kecil (antara 1 sm - melebihi 6 sm.
* Kerap diperoleh mereka berusia 40 hingga 60 tahun
* Individu bawah 40 tahun dan kanak-kanak.
* Lakukan pemeriksaan awal.
* Benjolan dikenal pasti menerusi diagnosis klinikal dengan menjalani ujian radiologi seperti imbasan ultrasound, imbasan imbasan Tomografi Berkomputer atau CT Scan, pengimbas Imej Magnetik (MRI)
*Dilakukan jika ada tanda luar biasa.
Tisu adipose
* Tisu atau lemak dalam badan.
* Berfungsi untuk penyimpanan tenaga dalam bentuk lemak.
* Bertindak sebagai 'pelapik' dan memberi haba kepada badan.
* Tumbuh di bawah kulit dan organ dalaman badan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment