Ilmu dan kepandaian itu adalah sahabat yang setia dalam hidup sampai kepada penghabisan umur

Thursday, 9 June 2011

Pemeriksaan kesihatan itu penting

MINGGU lalu, jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, 56, rebah di padang bola sepak di Ipoh, Perak selepas mengalami sesak nafas.
Dia dikejarkan ke Hospital Pantai Ipoh dan doktor yang memeriksanya mendapati dua saluran arteri jantung milik penyandang enam kali Mr. Asia kategori heavyweight itu tersumbat.
Ekoran masalah itu, Malek telah diberi rawatan angioplasti iaitu pembedahan untuk membentuk semula pembuluh darah. Keadaannya bertambah baik dan stabil selepas itu.
Ditebak soalan punca serangan tersebut, anak kelahiran Batu Pahat, Johor, ini masih mencari jawapannya.
“Saya terkejut dengan serangan tersebut kerana menurut doktor kandungan kolesterol dalam badan saya tidak terlalu tinggi.
“Bagaimanapun, saya sangat bersyukur kepada Allah kerana sudah beransur sihat dan boleh pulang ke rumah. Pengalaman diserang penyakit jantung memang sukar untuk digambarkan.
Tersumbat
“Kalau ditanya bagaimana perasaan saya, rasanya seperti mati hidup semula. Sebaik saja sedar, saya hanya mampu mengucap kalimah syahadah sambil menangis,” katanya.
Serangan jantung Badang Asia itu mengejutkan banyak pihak.
Ini kerana dia bukan sahaja bertubuh sasa bahkan diiktiraf sebagai seorang jaguh bina badan. Malah, dia kini merupakan pengarah eksekutif di sebuah pusat kecergasan.
Namun, insiden baru-baru ini membuktikan manusia yang terkenal dengan rutin bersukan dan mempunyai pengetahuan luas dalam pengambilan makanan sihat pun masih terdedah kepada serangan jantung.
Pakar Perunding Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Shaiful Azmi Yahaya memberitahu aktif bersukan tidak semestinya sihat.
“Kerap bersukan tidak bermakna anda sihat secara sempurna.
“Ini kerana banyak lagi aspek kesihatan yang perlu diambil berat selain senaman.
“Benar, senaman dapat membantu mengekalkan kesihatan tetapi ia perlu disokong dengan pengambilan makanan yang seimbang serta gaya hidup yang sihat.
“Memang ada orang yang mengamalkan rutin senaman atau bersukan tiga atau empat kali seminggu, tetapi bersenam sahaja tidak cukup untuk tampil sihat sekiranya kadar kolesterol dalam badan tidak dijaga.
“Begitu juga dengan pengambilan gula, tekanan darah tidak stabil dan merokok,” jelasnya.
Bukan untuk menakut- nakutkan, tetapi serangan jantung di atas padang yang membawa maut sudah beberapa kali berlaku sebelum ini.Ini termasuk vokalis kumpulan Fotograf, Mohd. Shamrin Abdul Samad, 45.
Popular dengan panggilan Shamrin, arwah dikatakan rebah ketika bermain bola sepak di padang bola Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, November tahun lalu.
Dalam kalangan atlet profesional, pemain kelab Seville dari Sepanyol, Antonio Puerta, 22, meninggal dunia secara mengejut ketika sedang beraksi dalam satu perlawanan Liga Sepanyol menentang kelab Getafe pada 2007.
Ditanya mengenai punca utama serangan jantung mengejut, Shaiful memberitahu, penyumbatan pada saluran arteri jantung, masalah kongenital dan injap jantung yang sempit boleh mendatangkan serangan tanpa sebarang tanda.
“Kolesterol adalah halangan utama yang mengganggu kelancaran saluran darah di bahagian jantung.
“Terdapat tiga urat besar di jantung kita yang diameternya sekitar tiga atau empat milimeter sahaja.
“Kehadiran lemak sering menyempitkan saluran tersebut dan keadaan ini lebih teruk dalam kalangan perokok dan penghidap kencing manis.
“Bagi dua golongan ini, lemak pada urat jantung mereka mudah rosak dan pecah. Apabila pecah, lemak akan bercampur dengan darah.Pecah
“Percampuran antara lemak dan darah tersebut menjadikan darah membeku dan bergumpal.
“Gumpalan darah beku tersebut akan menghalang saluran darah dan urat akan tersumbat. Keadaan ini menyebabkan ada kawasan jantung yang tidak menerima darah.
“Akibatnya, jantung boleh mendapat renjatan dan gagal berfungsi. Pesakit pula pada masa ini berada dalam keadaan yang sangat kritikal,” jelasnya.
Tidak hairanlah jika rawatan kecemasan tidak diberikan pada tiga minit pertama serangan, risiko untuk mangsa diselamatkan adalah tipis.
Melihat data kes yang dikendalikan di IJN sepanjang tiga tahun lepas, institut tersebut telah menangani 8,366 kes serangan jantung yang memerlukan pesakit diberi rawatan angioplasti.
Daripada jumlah itu, 24 peratus daripada pesakit berusia bawah 50 tahun dan 80 peratus daripadanya menghadapi masalah kolesterol tinggi.
“Dengan gaya hidup yang serba segera, serangan jantung dalam kalangan umur 25 hingga 27 tahun bukan lagi perkara yang mengejutkan.
“Masyarakat perlu lebih prihatin tentang kesihatan tubuh mereka.
“Jika bahagian tubuh luar yang cedera, kita dapat lihat, tetapi organ dalaman kita tidak tahu sedangkan ia lebih penting.
“Jalani pemeriksaan kesihatan berkala walaupun anda baru berusia 20-an. Jika usia sudah meningkat, kekerapan perlu ditambah kepada enam bulan sekali,” katanya.

No comments:

Post a Comment