Ilmu dan kepandaian itu adalah sahabat yang setia dalam hidup sampai kepada penghabisan umur

Yang Luar Biasa

Litoria sauroni. Spesies katak baru.
MANILA: Seekor katak bertaring, ular buta dan dolfin berkepala bulat adalah antara lebih daripada 1,000 spesies baru yang ditemui baru-baru ini di kepulauan Melanesia di New Guinea.
Turut ditemui ialah yu sungai dan berdozen-dozen rama-rama.
Laporan terbaru kumpulan alam sekitar Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) mengenai habitat semula jadi pulau itu menyatakan saintis membuat penemuan menakjubkan itu pada kadar dua spesies seminggu dari 1998 hingga 2008.
“Laporan ini menunjukkan New Guinea mempunyai hutan dan sungai yang antara lain berbiodiversiti paling kaya di dunia,” kata wakil program Barat Melanesia WWF, Neil Stronach.
New Guinea yang terpisah antara Indonesia di barat dan Papua New Guinea di timur mempunyai salah satu ekosistem yang paling menarik dan tidak tercemar.
Hutan hujan tropikanya merupakan ketiga terbesar di dunia selepas Amazon dan Congo.
Walaupun pulau tersebut meliputi hanya 0.5 peratus daripada daratan bumi, WWF melaporkan ia menghimpunkan sehingga lapan peratus daripada spesies-spesies dunia.
Sebelum ini pun, umum mengetahui New Guinea sudah mempunyai biodiversiti yang amat menarik seperti rama-rama terbesar dunia yang memiliki sayap berukuran 30 sentimeter (12 inci) dan tikus gergasi yang boleh membesar sehingga satu meter panjang.
Para saintis, menurut WWF, percaya satu kilometer persegi (247 ekar) tanah rendah di hutan hujan tropika itu mempunyai sebanyak 150 spesies burung.
Sebanyak 1,060 spesies yang disahkan penemuan baru oleh saintis antara 1998 dan 2008 dipercayai hanya merupakan sebahagian kecil bilangan spesies di New Guinea.
“Begitulah hebatnya biodiversiti New Guinea kerana penemuan baru dikira perkara biasa hingga ke hari ini,” menurut laporan WWF yang bertajuk, “Final Frontier: Newly Discovered Species of New Guinea (Sempadan Akhir: Spesies Terbaru Ditemui di New Guinea)”.
Salah satu penemuan paling menarik yang direkodkan dalam laporan WWF itu ialah dolfin berkepala bulat, bersirip, pendek dan terjungkit.
Ikan istimewa tersebut berenang di perairan pantai yang terlindung dan cetek serta berdekatan sungai dan muara anak sungai kecil.
Ditemui pada 2005 di Papua New Guinea, ia adalah spesies pertama dolfin baru yang direkodkan di dunia dalam tempoh tiga dekad.
Spesies luar biasa ini menjadi gambar muka depan laporan terbaru kumpulan alam sekitar Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) mengenai penemuan haiwan luar biasa di New Guinea.
WWF berkata, ia juga ditemui di Australia.
Antara lain-lain 12 mamalia yang ditemui pada dekad ini ialah tenggiling yang diberi nama mengikut nama ahli alamiah Britain, Sir David Attenborough atau nama saintifiknya Zaglossus attenboroughi.
Salah seekor134 katak yang ditemui digelar sebagai Litoria sauroni kerana matanya berbintik merah dan hitam.
Ia mengingatkan kita kepada karakter jahat, Sauron dalam filem ‘Lord of the Rings’.
Seekor lagi katak baru amat menarik kerana saiznya yang kecil. Panjangnya hanya satu sentimeter, sementara seekor lagi mempunyai taring macam puntianak.
Sembilan spesies siput yang sangat berwarna-warni adalah antara 580 invertebrat baru yang ditemui.
Salah seekor siput berwarna kuning terang manakala seekor lagi hijau dan hijau.
Lain-lain invertebrat baru ditemui ialah udang krai berwarna aprikot yang terang.
Ia adalah sebahagian daripada famili haiwan bernama “yabbies” di Australia dan sesetengah tempat di dunia.
Ia berkepanjangan antara sembilan hingga 12 sentimeter.
Ikan baru yang ditemui berjumlah 71. Ia datang dalam pelbagai warna, termasuk sejenis ikan yang memancarkan kilauan warna biru.
Para saintis mengagumi ikan tersebut yang ditemui pada batu karang di Milne Bay, Papua New Guinea.
WWF berkata, penemuan paling luar biasa ialah seekor yu sungai berukuran 2.5 meter di Papua New Guinea.
Orcaella heinsohni.Spesies ikan lumba-lumba baru.
Spesies itu kemudiannya turut dikesan di bahagian utara Australia.
Daripada 43 jenis reptilia yang ditemui, seseorang boleh mendakwa ular paling tidak berbahaya di dunia ialah seekor ular yang panjangnya hanya 12-14 sentimeter, matanya bersisik sehingga ia tidak boleh melihat, tidak boleh mematuk dan tidak mempunyai bisa.
WWF memberitahu, tindakan manusia memusnahkan habitat semula jadi New Guinea pada kadar yang cepat.
Antara ancaman yang disenaraikan dalam laporan itu ialah pembalakan haram dan tidak terancang, pembukaan hutan untuk tujuan perladangan, perlombongan, pembinaan jalan raya dan penangkapan ikan yang tidak terancang.

Myvi baharu kekal popular












KUALA LUMPUR 16 Jun - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) telah menerima 10,000 buah tempahan kereta kompak Myvi baharu (gambar) walaupun pelancarannya akan dilakukan malam ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, daripada jumlah itu, 50 peratus daripadanya adalah untuk Myvi premium, 30 peratus dari Myvi biasa (standard) dan 20 peratus dari Myvi elegan.
Berikutan sambutan yang menggalakkan itu, Perodua yakin dapat menjual kira 8,500 buah sebulan.
''Dengan pengenalan model baru ini, Myvi generasi pertama telah pun ditamatkan pengeluarannya sejak April lalu bagi memberi laluan kepada model baru,'' katanya dalam taklimat media sempena pelancaran Myvi terbaharu di sini hari ini.
Model terbaharu itu berharga dari RM43,900 bagi transmisi manual biasa sehingga RM57,400 untuk transmisi automatik elegan dengan enam pilihan warna.
Myvi itu juga telah ditingkatkan kandungan tempatan dalam produk terbaharu itu sehingga 85 peratus berbanding 80 peratus yang digunakan MyVi.
"Model baharu itu hanya sekadar menggunakan casis Daihatsu, manakala peralatan lain yang melengkapinya adalah komponen tempatan termasuk reka bentuk dan keperluan yang ditawarkan," kata Aminar Rashid.
Beliau berkata, keputusan untuk memberhentikan pengeluaran Myvi generasi pertama adalah satu keputusan perniagaan di sebalik permintaan dan sambutan adalah tinggi.
Ini kerana katanya, kitaran hayat bagi sesebuah model untuk kereta hanya boleh bertahan bagi tempoh empat hingga enam tahun sebelum ini ditingkatkan atau dinaik taraf untuk memenuhi permintaan pasaran.
Malah katanya, Perodua percaya mampu mempertingkatkan jualan melalui Myvi terbaharu berbanding model generasi pertama.
Aminar Rashid berkata, Perodua akan mengeksport 500 buah Myvi ke Indonesia dengan menggunakan jenama nama Daihatsu Sirion, mulai penghujung bulan ini.

Gerhana bulan penuh paling lama dalam 11 tahun


RENTETAN empat gambar menunjukkan bayang bumi melindungi bulan sedikit demi sedikit sehingga berlaku gerhana bulan penuh awal pagi semalam.


KUALA LUMPUR 16 Jun – Lebih 1,000 pengunjung menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh paling lama dalam tempoh 11 tahun di pekarangan Masjid Negara di sini bermula pukul 4.13 pagi.
Fenomena gerhana maksimum selama 100 minit itu dapat disaksikan menggunakan 10 teleskop yang disediakan sempena Program Pencerapan Gerhana Bulan Penuh di masjid itu.
Program yang berlangsung dari pukul 1 pagi dan berakhir kira-kira enam jam kemudian, dianjurkan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Masjid Negara.
Fasa pertama gerhana berlaku pada pukul 2.23 pagi dan ia dapat dilihat dengan jelas menerusi teleskop.
Bagaimanapun, gerhana maksimum pada pukul 4.13 pagi tidak begitu jelas kelihatan akibat terlindung oleh awan tebal.
Gerhana masih terus berlaku sehingga pukul 7.01 pagi tetapi fenomena tersebut tidak dapat disaksikan pada waktu itu kerana bulan berada di kawasan bayang penumbra bumi yang kurang gelap.
Hadir sama di pekarangan masjid itu ialah Pengarah Bahagian Pendidikan dan Sains Angkasa, Azreena Ahmad dan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.
Turut diadakan solat sunat gerhana berjemaah dan ceramah berkaitan kejadian gerhana bulan.
Bagi mereka yang terlepas menyaksikan fenomena itu, ia boleh ditonton semula menerusi laman web Angkasa di www.angkasa.gov.my.
Gerhana bulan penuh selama 107 minit iaitu yang paling lama pernah dicatatkan sejak 1982, berlaku pada 16 Julai 2000.
Seorang pengunjung, Dang Hasliza Abu Hassan, 44, dari Bukit Antarabangsa di sini, berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan fenomena gerhana itu kali ini.
“Setiap tahun saya akan datang ke Masjid Negara untuk menyaksikan fenomena ini kerana pihak penganjur menyediakan teleskop bagi membolehkan pengunjung melihat sendiri gerhana bulan,” katanya.
Bagi Masumbillah Rafiq, 30, dia sanggup berada di pekarangan masjid tersebut sejak pukul 1 pagi sehingga masuk waktu solat Subuh meskipun bekerja pada hari tersebut.
“Peluang menyaksikan gerhana bulan penuh terpanjang ini harus saya manfaatkan sebaik-baiknya,” katanya.

Fenomena gerhana bulan esok



KUALA LUMPUR: Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan sepenuhnya antara pukul 1.25 pagi dan 7.01 pagi esok, menurut Agensi Angkasa Negara.
Fasa penumbra (P1) akan berlaku pada pukul 1.25 pagi namun kesan kenampakan gerhana masih tidak dapat diperhatikan memandangkan bulan merentasi bayang penumbra yang kurang gelap. "Gerhana yang jelas dapat dilihat semasa bulan memasuki bayang umbra bumi (U1) mulai pukul 2.23 pagi sehingga gerhana maksimum berlaku pada 4.13 pagi. Bulan akan mula keluar dari bayang umbra bumi (U3) pada 5.03 pagi dan keluar sepenuhnya dari bayang Bumi (U4) pada 6.02 pagi," menurut kenyataan agensi itu hari ini.

Angkasa itu menyatakan bahawa gerhana masih terus berlaku sehingga 7.01 pagi tetapi fenomena tersebut tidak dapat disaksikan pada waktu tersebut kerana bulan berada di kawasan bayang penumbra bumi yang kurang gelap.


Dasar gaji minimum dilaksana

SUBANG JAYA 14 Jun - Pelaksanaan gaji minimum untuk golongan pekerja berpendapatan rendah di negara ini dijangka dapat dibuat sebelum akhir tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Untuk itu, menurut Perdana Menteri, Rang Undang-Undang Majlis Konsultasi Gaji Negara akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.
"Jika diluluskan, kita akan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara dan diharap gaji minimum dapat dilaksanakan sebelum akhir 2011.
"Umpamanya soal umur persaraan, elaun sara hidup (COLA) dan pekerja asing, ini semua persoalan yang wajar diperhalusi secara mendalam agar keputusan nanti mendatangkan kebaikan kepada semua pihak," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sempena Hari Pekerja 2011 di sini malam ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Presiden MTUC, Mohd. Khalid Atan dan Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pemuda UMNO Malaysia, Nazir Hussin Akhtar Hussin..
Najib menambah, pihak pekerja, majikan dan kerajaan di negara ini perlu bekerja sebagai satu pasukan dan mengelakkan perbalahan terbuka sesama sendiri seperti yang kerap berlaku dalam era 60-an dan 70-an dahulu.
Katanya, ini bagi memastikan setiap permasalahan dapat diselesaikan dengan bijak seterusnya memastikan Malaysia berjaya mencapai wawasan menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020.
"Ini untuk melihat ketiga-tiga pihak ini sebagai satu pasukan dalam erti kata dapat bergabung, jalin dalam satu perkongsian dan apabila saya sebut perkongsian, tidak bererti kita tidak boleh mempunyai perbezaan pendapat," jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Khalid dalam ucapannya berkata, kehadiran Najib pada majlis itu adalah penghargaan terbesar kepada MTUC kerana julung-julung kalinya ia dihadiri oleh seorang Perdana Menteri sejak MTUC ditubuhkan.
Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Portal Aduan Pekerja yang digerakkan oleh Pemuda UMNO dengan kerjasama MTUC.
Perdana Menteri juga menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada bekas Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran atas sumbangannya kepada kongres tersebut selama ini.



Chong Wei, Seu Bock santai rangka strategi






Lee Chong Wei


KUALA LUMPUR - Kesempatan menjalani latihan terpencil di Universiti Bath, England digunakan sepenuhnya Datuk Lee Chong Wei dan Tey Seu Bock merangka strategi bagi menghadapi Kejohanan Dunia di London minggu depan dengan perbincangan berlangsung dalam suasana cukup santai.
Tegas Seu Bock, cukuplah dengan bahang yang kian dirasai Chong Wei ketika kejohanan tinggal lima hari di Arena Wembley, Isnin ini, beliau tidak mahu menambah tekanan jaguh No. 1 dunia itu dengan melakukan perkara yang tidak perlu, seperti perbincangan yang terlalu serius.
Sejak tiba di Bath, Rabu lalu, Seu Bock dan Chong Wei melakukan semua yang perlu dibuat oleh jurulatih dan pemain, termasuk menganalisis video perlawanan, membaca permainan lawan serta merangka strategi dan pendekatan yang dilakukan mereka kali ini tidak setegang atau seserius biasa.
Jelas Seu Bock, melihat keadaan Chong Wei cukup rileks, ia mengingatkan kepada suasana ketika pemain itu mempertahankan kejuaraan All England di Birmingham, Mac lalu selepas menumbangkan Lin Dan dalam perlawanan akhir.
"Hanya sesi latihan yang berlangsung serius, di sini semua aktiviti kami yang lain berjalan dengan amat santai, termasuklah ketika kami membincangkan strategi. Saya tidak mahu suasana yang terlalu tegang kerana itu hanya akan menambah tekanan Chong Wei.
"Kami ada duduk berbincang mengenai lawan, menonton video serta merangka apa yang perlu dilakukan tetapi ia tidak diadakan dalam sesi khas atau bilik khusus, biasanya kami buat semua itu ketika masing-masing sedang berehat, atau ketika makan, malah ketika berada di spa.
"Chong Wei adalah pemain yang sudah matang, beliau tidak perlu diingatkan tentang sesuatu perkara berulang kali, cukuplah kami berbincang mengenai keperluannya ketika ini. Sambil makan dan duduk sembang-sembang, kami berkongsi pandangan,'' ujar Seu Bock ketika dihubungi di Bath, semalam.
Tambah Seu Bock, kurang seminggu menjelang kejohanan 8-14 Ogos itu, persiapan fizikal Chong Wei berada dalam keadaan baik, dengan masalah kecederaan belakang yang sudah hilang sepenuhnya, justeru beliau perlu memastikan keadaan mental pemain itu juga berada dalam tahap serupa.
Katanya, sejak hari pertama tiba di Bath, Chong Wei melakukan latihan penuh, dengan dua sesi sehari, berbanding latihan yang terhad di Kuala Lumpur. Malah, keadaannya turut dipantau rapi oleh pakar dari Institut Sukan Negara (ISN).
Selepas melengkapkan latihan lapan hari di Bath, pasukan badminton negara akan berlepas ke London, pagi ini sebelum memulakan kempen mencari kejuaraan dunia pertama, Isnin ini.
"Semua persiapan berjalan dengan sempurna dan Chong Wei telah dipersiapkan dengan sebaiknya. Sekarang terpulang kepada dia bagaimana hendak menterjemahkan semua yang dijalani di sini, apabila berada di atas gelanggang pertandingan.
"Kalau ditanya tentang keadaan Chong Wei sekarang, saya akan cakap dia di tahap terbaik, namun dalam badminton prestasi pada hari perlawanan akan menentukan sejauh mana pemain itu akan pergi. Kalau Chong Wei boleh teruskan ketenangan dan apa yang dipertontonkan pada All England lalu, dia boleh pergi jauh,'' kata Seu Bock lagi.