Ilmu dan kepandaian itu adalah sahabat yang setia dalam hidup sampai kepada penghabisan umur

Monday, 26 December 2011

Khasiat susu Ibu

  
TIADA siapa dapat menafikan khasiat susu ibu yang sememangnya mengandungi limpahan khasiat dan nutrisi yang diperlukan bayi. Bagaimanapun hari ini, banyak faktor menggoyahkan prinsip ibu untuk terus menyusukan anaknya secara eksklusif selama enam bulan pertama kelahiran atau dilangsungkan kepada 24 bulan.
Antaranya, ibu tidak mendapat maklumat secukupnya mengenai penyusuan, apatah lagi kehadiran susu formula yang memudahkan urusan serta persekitaran yang tidak menggalakkan.

Justeru, saban tahun kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) merangka program menjadikan penyusuan itu terus relevan dan dipraktikkan wanita tanpa batasan atau larangannya, kerana salah tanggapan terhadap penyusuan ibu memberikan pengaruh besar kepada kesihatan bayi.

Kajian membuktikan lebih dua juta kematian membabitkan kanak-kanak berusia sebulan hingga kurang usia lima tahun, boleh dielakkan apabila berlaku sentuhan kulit ke kulit menerusi penyusuan ibu. Kebanyakan pakar pemakanan menyifatkan dua tahun pertama usia seorang bayi sebagai ‘tempoh kritikal’ kerana kualiti nutrien yang diberi kepada bayi akan menentukan pertumbuhan dan pembesaran berkekalan sepanjang hayat.
 Dalam usaha menggalakkan pemakanan bayi yang lebih baik, program ‘Mother’s Smart Choice (MSC) dilancarkan hasil usaha sama Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Persatuan Paediatrik Malaysia (MPA), Persatuan Obstetrikal & Ginaekologikal Malaysia (OGSM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang turut disokong Philips Avent Malaysia.

Menurut Pengerusi Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee E Siong, pelancaran itu menandakan inisiatif permulaan pemakanan bayi yang penting bagi mendidik dan menggalakkan golongan ibu di Malaysia menyediakan nutrisi yang baik untuk bayi baru lahir serta anak kecil mereka.

“Adalah penting memastikan anak kita diberikan makanan berkhasiat sejak dilahirkan. Dengan permulaan betul, kita mampu mengurangkan risiko jangkitan penyakit berkaitan pemakanan di kalangan anak yang membesar.

“Selain itu, amalan baik ini mampu memupuk tabiat pemakanan sihat yang akan menjadi asas gaya hidup sihat sepanjang masa,” katanya sewaktu ditemui media di Sunway Resort &Spa, baru-baru ini.

MSC juga akan melaksanakan aktiviti seiring usaha kerajaan menjana generasi Malaysia yang sihat pada masa depan.

Pada peringkat awal, MSC bercadang menjadikan golongan ibu di negara ini sebagai kumpulan sasar dengan memperkasakan mereka melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran praktikal bagi membekalkan makanan berkhasiat kepada anak mereka.

Program ini akan dijalankan dalam beberapa peringkat dengan penyusuan ibu sebagai fokus fasa pertama, manakala fasa kedua ditumpukan pada penyusuan susu ibu dan pemberian makanan pelengkap yang sesuai dengan kanak-kanak berusia enam hingga 12 bulan.

Fasa ketiga pula tumpuan akan diberi terhadap makanan berkhasiat yang betul untuk anak kecil berusia 13 hingga 24 bulan yang meliputi penyusuan ibu, pilihan makanan pelengkap bayi serta makanan sihat yang disediakan di meja.

Tambah Dr Tee, penyusuan ibu dijadikan fokus utama program MSC kerana ia sumber pemakanan terbaik untuk tumbesaran optimum bayi.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bayi harus diberi susu ibu secara eksklusif buat enam bulan pertama sejak dilahirkan.

Malah, WHO turut menegaskan bahawa kolostrum (susu ibu yang berwarna kekuningan dan lekit) yang dihasilkan pada fasa akhir kehamilan adalah makanan terbaik untuk bayi baru lahir dan untuk itu pemakanan hendaklah dimulakan pada jam pertama selepas bayi dilahirkan.

“Selepas enam bulan pe- nyusuan badan hendaklah diteruskan bersama makanan pelengkap yang sesuai sehingga anak itu berusia dua tahun.

“Walaupun ada banyak manfaat susu ibu, bilangan ibu yang melakukannya jauh lebih rendah daripada yang diharapkan.

“Kajian kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ketiga (2006) menunjukkan peningkatan bilangan ibu yang memberikan susu kepada anak mereka.

“Pun begitu, bilangan ibu yang hanya memberikan susu ibu pada empat bulan pertama usia bayi mereka berkurangan sebanyak 9.7 peratus, malah menurut kajian sama, Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang paling rendah daripada segi penyusuan susu ibu secara eksklusif,” katanya.

Bagi menyokong usaha menggalakkan budaya penyusuan ibu selanjutnya, MSC juga akan menerbitkan buku panduan percuma berjudul Breastfeed With Confidence (Menyusu Dengan Yakin) di samping menganjurkan beberapa siri ceramah mengenai penyusuan susu ibu secara percuma untuk jururawat di hospital dan klinik bersalin negara ini.

Buku panduan ini mengandungi maklumat berguna membantu ibu mengenai cara mengenai cara penyusuan yang betul meskipun selepas mereka kembali bekerja.

Ia akan diedarkan kepada wanita hamil melalui hospital dan klinik, manakala ceramah diadakan bertujuan melatih jururawat membantu ibu mengenai penyusuan ibu pada peringkat awal selepas melahirkan bayi mereka.

Bagi meningkatkan kesedaran mengenai buku ini, MSC akan mengeluarkan poster mengandungi maklumat mengenai cara mendapatkan buku panduan ini yang akan diletak di hospital seluruh negara.

Sementara itu, Pengerusi LPPKN, Tan Sri Napsiah Omar berkata, penyusuan adalah sumber makanan terbaik bagi pertumbuhan yang optimal dan tumbesaran bayi.

Katanya, selepas enam bulan pertama, penyusuan perlu diteruskan di samping makanan pelengkap lain hingga bayi berusia dua tahun.

“Ia juga adalah cadangan Kementerian Kesihatan yang terkandung dalam panduan pemakanan 2010. Kepentingan penyusuan susu ibu tidak boleh diperkecilkan. Susu ibu juga membantu mengukuhkan sistem imuniti serta selain menghalang melindungi mereka daripada penyakit.

“Hasil penyelidikan dilakukan WHO menunjukkan susu ibu mampu menghalang 13 peratus kematian yang berlaku di kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun di seluruh dunia,” katanya kepada media.

Selain faedah kepada bayi, ia juga memberi banyak manfaat kepada ibu, misalnya mampu menjarakkan kehamilan, membantu mengembalikan bentuk asal rahim serta mengurangkan risiko pendarahan, malah paling utama ia mampu membakar kira-kira 500 kalori yang jumlahnya bersamaan sesi aerobik selama dua jam.

LPPKN turut menyediakan perkhidmatan perancang keluarga di 56 klinik seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. Penyusuan ibu juga mampu merapatkan hubungan intim antara ibu dan anak.

Dengan kemudahan dan teknologi masa kini, tiada alasan untuk ibu di Malaysia tidak menyusukan anak mereka. Selain itu, ada juga wanita yang salah faham mengenai penyusuan ibu, misalnya sukar menyusukan di tempat awam selain sukar membekalkan susu yang cukup kepada bayi mereka.


Kebaikan susu ibu

Susu ibu mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi dan berubah mengikut umur dan keperluan bayi. Ia mudah dihadam dan digunakan oleh bayi dengan berkesan serta melindungi bayi daripada penyakit, mengandungi antibodi, faktor tumbesaran, enzim dan tiada pencemaran.

Contohnya bagi bayi yang dilahirkan pra-matang, susu ibu yang dihasilkan sesuai untuk perkembangan bayi. Ia kurang laktosa, lebih protein, Laktoferrin dan Imunoglobulin untuk mencegah alahan dan jangkitan.

Susu awal ibu atau dikenali sebagai kolostrum berwarna kekuningan pula adalah makanan pertama yang sempurna bagi bayi dan mengandungi pelbagai kebaikan.

Antaranya mengeluarkan mekonium (najis bayi pada awal kelahiran), mencegah penyakit kuning (jaundis), melindungi bayi daripada jangkitan dan alahan (susu ibu kaya dengan antibodi dan sel darah putih), mencegah jangkitan dan penyakit mata (kaya dengan vitamin A dan E), mengandungi faktor pertumbuhan bagi kematangan usus, sekali gus mencegah alahan, dan bertindak sebagai imunisasi pertama untuk menentang bakteria dan virus.

Jika bayi diberikan makanan lain sebelum dia diberikan kolostrum, makanan itu mungkin boleh merosakkan usus dan menyebabkan alahan.

Selain itu, susu ibu melindungi bayi daripada kolik, lelah, penyakit kulit, hidung dan alahan kepada makanan, mengurangkan penyakit seperti batuk, jangkitan telinga, bronkitis, pneumonia, meningitis dan cirit-birit.

Ia juga mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis, kanser dan obesiti kanak-kanak di kemudian hari.

Selain itu, susu ibu mengurangkan risiko sindrom kematian bayi, masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang.

Berikut adalah panduan yang boleh diikuti ibu untuk penyusuan yang berjaya:


Amalan positif



  • Persediaan mental sebelum kelahiran adalah penting. Dapatkan maklumat berguna mengenai penyusuan susu ibu ketika hamil;




  • Yakinkan diri bahawa susu anda mencukupi untuk bayi;




  • Susu bayi dalam keadaan tenang dan banyak berehat pada minggu awal selepas kelahiran bayi;




  • Pastikan penyusuan dilakukan dengan posisi yang baik dan selesa supaya tidak terasa lenguh dan mengelakkan masalah seperti sakit puting;




  • Makan makanan seimbang dan minum air mencukupi;




  • Ingatlah bahawa bekalan susu ibu bergantung kepada rangsangan. Lagi kerap bayi menyusu, semakin banyak susu dihasilkan.


    Amalan negatif




  • Jangan terpengaruh dengan kata-kata bahawa susu anda tidak mencukupi untuk bayi. Ingatlah, jika anda berupaya melahirkan seorang bayi ke dunia, sudah anda pasti mampu memberi dan membekalkannya susu yang terbaik;




  • Jangan berikan bayi anda susu botol tambahan atau air masak;




  • Bayi tidak perlu diberikan makanan atau minuman lain kecuali susu ibu sehingga berusia empat hingga enam bulan;




  • Cara menghisap puting botol dan puting buah dada adalah berbeza. Ini boleh mengelirukan bayi dan akan menggagalkan penyusuan susu ibu;




  • Jangan menyusu dalam keadaan terburu-buru. Masa enam minggu pertama adalah masa latihan untuk ibu dan bayi. Masa ketenangan dan kesabaran akan menyelesaikan banyak masalah;




  • Jangan bimbang apabila bayi membuang air besar. Adalah perkara biasa bayi yang diberi susu ibu kerap membuang air besar. Najis ini biasanya cair sedikit dan berwarna kekuningan.



  • Susu ibu yang diperah boleh disimpan untuk diberikan pada bayi sepanjang ketiadaan ibu bersama bayi. Susu ibu mengandungi sel hidup, oleh itu susu ibu yang diperah perlu disimpan dengan kaedah yang betul untuk memastikan kandungan nutriennya terpelihara dan tidak musnah. Susu ibu sebenarnya mempunyai bahan anti-bakteria yang membolehkannya kekal segar dan tahan lama.
    Bekas yang sesuai untuk menyimpan susu perahan:
    • bekas plastik atau botol susu bebas BPA (Bisphenol-A)
    • bekas kaca atau bekas plastik berbucu keras (seperti Tupperware)
    • breast milk storage liners yang memang dikhususkan untuk menyimpan perahan susu ibu
    Susu ibu yang diperah boleh disimpan di dalam keadaan dan tempoh masa berikut:
    1. Di dalam suhu bilik (19 hingga 26 °C), tahan sehingga 4 jam
    2. Di dalam bekas penyejuk (cooler bag/box) (kurang 4 °C), tahan sehingga 12-24 jam
    3. Di dalam peti sejuk (kurang 4 °C), tahan sehingga 7 hari
    4. Di dalam peti sejuk bahagian beku (-18 hingga -20 °C), tahan antara 3 hingga 6 bulan
    Expressed Breast Milk (EBM)
    Expressed Breast Milk (EBM)
    Panduan asas penyimpanan susu ibu:
    • bekas penyimpanan susu hendaklah dibasuh dengan bersih menggunakan sabun, dibilas dengan air didih dan dikeringkan dengan sempurna sebelum digunakan
    • catatkan tarikh perahan pada bekas susu sebelum menyimpannya
    • simpan susu dalam kuantiti mencukupi untuk 1 kali penyusuan untuk 1 bekas, contohnya 2 – 4 oz sahaja setiap bekas
    • jangan penuhkan bekas sehingga ke penutupnya, tinggalkan sedikit ruang untuk membolehkan pengembangan berlaku apabila susu dibekukan
    • susu yang hendak dibekukan sebaiknya hendaklah disimpan di bahagian sejuk terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke bahagian beku peti sejuk
    • jangan simpan susu perahan di bahagian pintu peti sejuk kerana suhu di bahagian pintu tidak stabil (kerana kekerapan membuka dan menutup pintu peti sejuk)
    • sebaiknya simpan susu perahan di bahagian paling atas dan paling dalam kerana suhunya lebih stabil dan malar
    • jika menggunakan bekas penyejuk (cooler bag) pastikan ice pack yang digunakan mencukupi, ganti jika perlu dan kurangkan kekerapan membuka bekas penyejuk

    Maklumat Tambahan

    (berdasarkan soalan-soalan yang dikerap ditanya di dalam komen-komen di bawah)
    1. Susu yang diperah di pejabat boleh disimpan di dalam peti sejuk di pejabat (jika ada) dan dibawa balik menggunakan cooler bag yang berisi ice pack yang mencukupi untuk perjalanan pulang ke rumah (walaupun perjalanan ke rumah hanya 10 minit, pastikan susu perahan kekal sejuk). Sampai di rumah, bolehlah pindahkan ke peti sejuk di rumah sama ada hendak letakkan di bahagian bawah (sejuk biasa) atau di bahagian atas (freezer). Tidak digalakkan membekukan susu semasa di pejabat kerana susu beku lebih sukar diuruskan (kerana kita perlu memastikan ia dibawa balik dalam keadaan beku dan tidak boleh mencair walaupun sedikit).
    2. Jika susu beku sudah mencair (walaupun sedikit), susu tersebut tidak boleh lagi dibekukan semula. Ia perlu disimpan di bahagian bawah (bhg sejuk biasa) malah perlu dihabiskan (digunakan) dalam tempoh 24 jam dari masa ia mula mencair.
    3. Susu perahan lebih baik disimpan di bahagian sejuk biasa berbanding bahagian beku (freezer) jika susu perahan itu adalah stok untuk beberapa hari. Sekiranya pada hari ke-5 susu perahan tersebut belum digunakan maka bolehlah naikkannya ke bahagian beku untuk memanjangan tempoh hayatnya.
    4. Susu perahan yang dibekukan akan kehilangan beberapa nutrien dan antibodi akibat proses pembekuan namun komposisinya masih JAUH LEBIH BAIK berbanding susu formula. Oleh itu ibu perlu memberi susu  segar (secara direct feeding), susu perahan yang disejukkan dan susu perahan yang dibekukan untuk mengimbangi keperluan nutrien dan antibodi bayi.
    5. Susu perahan yang telah dipanaskan, diberikan kepada bayi tetapi tidak habis diminum. Ibu-ibu masih boleh menyimpan susu tersebut ke dalam peti sejuk semula untuk penyusuan berikutnya (anggaran masa tidak lebih dari 2 jam). Jika pada penyusuan kedua tidak juga dihabiskan maka susu tersebut perlu dibuang.

    Tuesday, 20 December 2011

    Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam


    Sukacita dimaklumkan bahawa sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) boleh dicapai mulai 16 Disember 2011 hingga 31 Disember 2011, melalui laman web KPM iaitu www.moe.gov.my  ataupun melalui http://sbpa1.jpa.gov.my/opsyenmoe/ atau http://sbpa2.jpa.gov.my/opsyenmoe/.  Untuk memasuki sistem SBPA  Y. Bhg. Tan Sri/Dato’ Sri/Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan hanya perlu memasukkan:-
    ID Pengguna: Sila masukkan No Kp anda
    Katalaluan    : Sila masukkan katalaluan anda sama seperti katalaluan HRMIS
    Sekiranya Y. Bhg. Tan Sri/Dato’ Sri/Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan tidak pernah menggunakan aplikasi HRMIS Y. Bhg. Tan Sri/Dato’ Sri/Datuk/ Dato’/Datin/Tuan/Puan boleh menggunakan No. Kp sebagai  menggantikan ID Pengguna dan katalaluan untuk memasuki sistem SBPA. Berikut ialah file untuk download pekeliling SBPA khusus untuk guru. Klik http://www.mediafire.com/?i168p5rkz06imu4 untuk download

    Sunday, 4 December 2011

    Pantang Larang Selepas Makan

      

    Apa yang anda perlu elakkan selepas makan?

    Jangan minum teh
    Dikhuatiri akan menganggu kelancaran proses penghadaman
    Jangan mandi
    Mandi boleh melancarkan proses pengaliran darah di kaki, tangan dan bahagian badan lain tetapi bukan di perut. Maka, ini akan melemahkan proses penghadaman dalam perut anda.
    Jangan merokok
    Kajian pakar mendapati bahawa menghisap sebatang rokok selepas waktu makan akan memberikan kesan yang sama dengan menghisap sepuluh batang rokok pada waktu lain. Secara tidak langsung, ini akan meningkatkan risiko anda menghidapi penyakit barah
    Jangan tidur
    Ini akan menjejaskan kelancaran proses penghadaman sekali gus meningkatkan risiko sakit gastrik berlaku.
    Jangan terlalu banyak berjalan
    Terlalu banyak berjalan selepas makan akan menyebabkan proses penghadaman terganggu dan seterusnya menyukarkan proses penyerapan nutrisi makanan.

    Sunday, 27 November 2011

    Pucuk Kesum Rahsia Awet Muda Lelaki

    Pucuk daun kesum dan ubi menjadi rahsia seorang warga emas berusia 60 tahun di Kampung Tok Fakir, Merchang, di sini, yang beristeri empat untuk mengekalkan stamina dan susuk tubuh menarik sehingga tampak muda berbanding umur sebenar.
        
    daun Kesum aka daun laksa

    Mohamed Nor Awang atau lebih mesra dipanggil Pok Nor berkata, dia hanya mengamalkan pemakanan sihat, terutama pucuk kesum dan ubi, untuk mengekalkan stamina seperti orang muda selain ingin tampak menarik.

    Malah, pokok kesum ditanam di setiap rumah isterinya yang tinggal berasingan bagi memudahkan dia menjamah ulam kegemarannya setiap kali makan nasi.
    “Pok Nor tak pernah guna ubat-ubatan atau majun, sebaliknya mengamalkan petua orang lama iaitu makan pucuk kesum dan ubi. Sejak 50 tahun mengamalkannya, Pok Nor kekal sihat zahir batin.

    “Pucuk kesum dan ubi dijadikan ulam-ulaman ketika makan nasi dan sehingga kini Pok Nor tidak menghidap penyakit berbahaya, malah masih kuat bekerja sebagai penjual kayu api dan buruh.

    “Ramai juga pelik dengan kecergasan Pok Nor, namun itulah hakikatnya apabila kita menjaga kesihatan serta mengamalkan petua yang betul.
    “Pernah juga rakan mencadangkan Pok Nor mengambil majun untuk kekal sihat, namun ia tidak perlu kerana Allah mengurniakan kesihatan zahir batin kepada Pok Nor,” katanya.

    Empat isterinya ialah Wan Rukiah Mat Yusoff, 55, Khalthum Dollah, 42, Noraini Daud, 43, dan Suzi Sulong, 37.
    Usia Suzi sebaya dengan anak sulungnya, Shamsudin Mohamed Nor.

    Isteri pertamanya, Wan Rukiah dikahwini pada 1973 dan dikurniakan sembilan anak berusia 16 hingga 37 tahun, manakala Khalthum dinikahinya pada 1987 dan dikurniakan empat anak berusia 15 hingga 22 tahun.

    Dia berkahwin dengan Noraini pada 1988 dan dikurniakan lima anak berusia tujuh hingga 21 tahun, manakala isteri keempat, Suzi pada 10 Julai 2008.

    Bersama Suzi, mereka belum dikurniakan cahaya mata selepas isterinya mengalami keguguran tahun lalu.

    Bagaimanapun, perkahwinan dengan Suzi berdepan masalah apabila permohonannya di Mahkamah Tinggi Syariah untuk berkahwin lagi ditangguh pihak mahkamah sehingga mendorong ketiga-tiga isterinya turut membuat rayuan supaya membenarkan serta menyokong permohonan suami mereka.

    Menurutnya, pernah seorang Datuk berstatus VIP yang ingin berpoligami berjumpanya untuk mencungkil rahsia dan petua mengekalkan keharmonian rumah tangga dan kekuatan batin.

    “Tiada petua khusus selain mengamalkan makan pucuk kesum untuk kesihatan tubuh badan serta menerapkan amalan agama, termasuk bacaan surah Yasin setiap malam Jumaat secara beramai-ramai dengan keluarga untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.

    “Memang jarang yang gemar makan pucuk kesum, padahal ia rahsia semula jadi yang diamalkan orang lama. Pucuk ubi juga bagus tetapi tidak dapat menandingi pucuk kesum.

    “Pantang paling besar dalam hidup Pok Nor ialah tidur siang secara berlebihan, terutama petang. Siang adalah masa untuk badan kita bekerja dan aktif, manakala berehat hanya pada sebelah malam,” katanya.

    Pok Nor berkata, dia bahagia bersama empat isteri dan 18 anaknya.

    “Paling meriah ketika menyambut hari raya apabila semua anak dan cucu berkumpul dan kami bersama-sama menyiapkan hidangan hari raya untuk meraikan tetamu.

    “Saya bersyukur kerana dianugerahkan kesihatan baik, boleh melihat cucu dan menjalankan tanggungjawab sebagai suami empat isteri, bapa kepada 18 anak dan datuk kepada 12 cucu,” katanya.

    Thursday, 24 November 2011

    5 Cara Melembutkan Daging

     

    Selalunya bila kita menikmati juadah yang berasaskan daging seperti rendang dan kari, tentu lebih berselera jika daging tersebut lembut dan empuk. Nikmatnya memang tak terhingga, bukan?
       Oleh itu, kalau anda bercadang nak masak lauk-pauk yang berasaskan daging seperti daging black pepper, kari atau pun rendang daging, berikut ada 5 cara melembutkan daging yang boleh anda cuba;

    Cara Pertama:

    1. Anda sediakan beberapa helai daun nangka dan bersihkannya dahulu.
    2. Kemudian, masukkan saja daun nangka tadi ke dalam periuk bersama dengan daging yang ingin direbus.

    Cara Kedua:

    1. Anda ambil daun pisang abu dan lapkannya dulu sampai bersih.

    2. Kemudian, carik-carikkan daun pisang abu tadi.

    3. Lepas tu, masukkan saja ke dalam kuali atau periuk bersama-sama dengan daging yang ingin dimasak.


    Cara Ketiga:

    1. Anda perlukan setengah atau sebiji pinang tua.


      
    2. Kupaskan dan bersihkan pinang tua tadi.

    3. Setelah itu, masukkannya ke dalam periuk (kuali) untuk dimasak sekali dengan daging.


    Cara Keempat:

    1. Cara ini pula khas untuk anda yang nak buat sate daging.

    2. Memula, hiriskan dahulu daging tersebut.

    3. Seterusnya, lumurkan daging tersebut dengan bahan-bahan perencahnya.

    4. Kemudian, bungkuskan daging dengan daun betik.


    5. Biarkannya selama 1 jam.


    6. Setelah itu, barulah anda bakar sate daging tadi dan hasilnya daging itu lebih wangi dan empuk.

    Cara Kelima:


    1. Anda perlukan sebatang tebu. Anda boleh gunakan sebarang jenis tebu.

     
    2. Buangkan dulu kulit tebu dan bersihkannya.


    3. Kemudian, anda potongkan tebu tadi secara memanjang seruas-seruas.


    4. Kalau daging tu nak dibuat rendang, masukkan saja isi tebu tadi bersama-sama dengan bahan-bahan lain untuk penyediaan rendang. Kemudian, masaklah sehingga rendang daging tu empuk.


    5. Andainya anda nak buat sup daging pula, rebuslah isi tebu tadi bersama-sama dengan bahan-bahan lain untuk mereneh sup. Isi tebu tersebut berfungsi untuk melembutkan daging dan menambahkan kelazatan sup.


    Sekarang anda dah tahu 5 petua untuk melembutkan daging, kan? Lepas ini bolehlah anda cuba mana-mana cara di atas. Mudah-mudahan masakan daging anda lebih enak nanti. 

    Selamat Mencuba !!!