Ilmu dan kepandaian itu adalah sahabat yang setia dalam hidup sampai kepada penghabisan umur

Saturday, 5 November 2011

Amalan Menjelang Hari Raya Aidil Adha

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Kedatangan 10 Zulhijah yang penuh kerahmatan, hendaklah disambut dengan berbanyak kesyukuran kerana berjaya melaksanakan ibadat haji, dan bagi mereka yang tidak mengerjakan haji, mereka telah berjaya menunaikan puasa dari 1 – 9 Zulhijjah.
Nabi Muhammad SAW bersabda:  “Tidak ada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah di kala Dia disembah daripada sepuluh Zulhijjah.”  (Hadis riwayat Abu Hurairah).

Apabila tiba 10 hari bulan Zulhijah yang lebih dikenali dengan Hari Raya Korban, maka hendaklah pergandakan usaha untuk melakukan ketaatan kerana sesungguhnya ia adalah hari yang paling afdal di sisi Allah SWT dan dijadikan kehormatan pada sebelah siangnya.
 .
.
Beberapa amalan yang dianjurkan bagi menyambut Hari Raya Korban (Hari Raya Aidiladha) adalah:-
.

SEBELUM 10 ZULHIJAH

  1. Memperbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah.
  2. Memperbanyakkan amalan sunat pada malam hari raya Aidiladha.
  3. Bersederhana dalam persiapan menyambut raya bagi mengelakkan pembaziran.
 .
.

PAGI 10 ZULHIJAH

  1. Mandi sunat Aidiladha pada pagi harinya.
  2. Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah.
  3. Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.
  4. Memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.
  5. Sunat menjamah makan-minum selepas selesai solat Aidiladha.
  6. Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid.
  7. Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.
  8. Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).
  9. Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.
  10. Ziarah menziarahi kaum keluarga, jiran tetangga, dan sahabat handai.
  11. Bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
  12. Elakkan sambutan hari raya daripada perkara yang ditegah syarak.
 .
.
Niat Mandi Sunat Hari Raya Aidiladha:

نَوَيْتُ الْغُسْلَ مِنْ يَوْمِ عِيدِ اْلاَضْحَى سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Daku berniat mandi sunat Aidiladha kerana Allah Ta’ala.
 .
.

HARI RAYA KORBAN

Aidiladha adalah bagi mengikis kelekaan terhadap keduniaan. Ia juga menilai di antara ketaksuban mencintai harta duniawi atau sanggup mengeluarkan sebahagiannya bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.
 .

1. Takbir

Suasana hari Tasyrik bersamaan Hari Raya Korban ini hendaklah dihiasi dengan takbir, tasbih, tahlil, tahmid, beristighfar dan perbanyakkan membaca al-Quran serta memperhatikan maknanya, terutama selepas setiap solat fardu.
.
Rasulullah SAW menyarankan umat Islam menyambut hari raya dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda: “Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah).”  (Hadis riwayat al-Thabrani).
.
Pada Hari Raya Haji / Aidiladha disunatkan bertakbir (Takbir Muqayyad) setiap kali selepas solat fardu, bermula dari Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar pada hari ke 3 Tasyriq, iaitu 13 Zulhijjah.

اَللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ.   ( × 5/3)

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ وَالِلَّهِ الْحَمْدُ

 Allah Maha Besar sebenar-benar agung, segala pujian bagi Allah. Maha suci Allah pada waktu pagi dan petang, tiada Tuhan yang disembah melain-kan Allah. Dan kami tidak menyembah melainkan kepada-Nya dengan ikhlas hati. Baginya agama walaupun dibenci oleh orang kafir. Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa. Ia membenarkan janji-Nya, membantu hamba-Nya, memuliakan tentera-Nya dan Dia sendiri menewaskan pakatan musuh.
2.  Banyakkan membaca doa Nabi Yunus:

لآ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنْ الظَّالِمِيْنَ

Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya daku ini dari golongan orang yang aniaya.
Ketika ditelan oleh ikan nun, dalam kegelapan malam dan kegelapan lautan, Nabi Yunus berdoa dengan doa ini. Lalu, Allah menyelamatkannya dan ikan itu memuntahkannya.
Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: “Wahai Rasulullah, adakah doa ini hanya khusus untuk Nabi Yunus atau untuk orang mukmin secara umum?”
Rasulullah menjawab dengan firman Allah bermaksud: “Dan kami selamatkannya daripada kesusahan. Begitu jugalah kami akan menyelamatkan orang mukmin.” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 88)
.
.

3.  Berdoa Taubat

Perbanyakkan berdoa kehadrat Allah, terutama merayu kepada-Nya supaya Allah mengangkat kemarahan dan kemurkaan-Nya daripada kita.
Kita merayu kepada-Nya janganlah dibalas jika kita terlupa atau tersilap. Merayu kepada-Nya agar Dia tidak menguji kita dengan sesuatu yang tidak mampu dipikul.
Merayulah kepada Allah, agar Dia memaaf, mengampun dan mengasihi kita. Dialah pelindung dan Dialah yang akan memberi kemenangan kepada kita.
 .
.

4.  Solat Sunat Aidiladha

Solat Sunat Aidiladha dua rakaat adalah sunat muaakkad, yang dilakukan pada waktu pagi 10 Zulhijah. Ia merupakan penghormatan dan kesyukuran kepada umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah Haji, di Tanah Suci Mekah.
 .
 .

5.  Ibadah Korban

Aidiladha disebut juga Hari Raya Korban. Kata `Adha’ adalah bentuk jamak daripada kata `dahiyah’ yang bererti haiwan korban. Korban atau udhiah bermaksud menyembelih haiwan tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing.
 .
Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Tiada sesuatu amalan anak Adam di hari Nahar (Hari Raya Korban) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban.Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya, dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya.”       Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim.
.
Ibadat korban Aidiladha boleh dilakukan selama empat hari bermula 10 Zulhijjah, iaitu pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijah) dan pada hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

HIKMAH AIDILADHA

  • Hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan.
  • Meninggalkan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah seperti maksiat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya.

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته


http://shafiqolbu.wordpress.com/2011/11/05/amalan-menjelang-10-zulhijah/

Thursday, 3 November 2011

Khasiat Daun Kari

    
Daun kari mempunyai nilai perubatan yang tinggi dan digunakan secara meluas dalam perubatan ayurverda di India. Ia berfungsi sebagai antioksidan, anti diabetes, anti mikrob dan anti inflamasi.
     Daun kari boleh dijadikan tonik herba untuk menguatkan perut dan mengatasi masalah penghadaman. Selain itu, daun kari yang dicampurkan dengan jus limau nipis dapat digunakan sebagai penawar masalah pening dan loya yang dialami wanita hamil. Loya dan pening yang dialami akibat makan lemak berlebihan turut  dapat dirawat menerusi daun kari. Buat wanita, daun kari turut membantu mengatasi masalah berkaitan haid.

Tuesday, 1 November 2011

Betik rendahkan risiko aneka penyakit

   

Betik merupakan sumber terbaik vitamin c, vitamin E dan beta karotena yang merupakan trio anti oksidan yang berkesan. Betik mampu melindungi tubuh daripada serangan aneka jenis penyakit berbahaya.
   Betik turut kaya dengan serat, berkuasa dalam menurunkan paras kolestrol dalam badan dan menghalang kerosakan arteri jantung atau arteriosklerosis.Asid amino yang terkandung di dalamnya pula mampu menangkis serangan penyakit jantung dan angin ahmar.
   Manakala gabungan trio antioksidan dan asam folat pula berupaya melindungi sel kolon daripada sebarang kerosakan serta risiko untuk mendapat kanser kolon.

Friday, 28 October 2011

Kunyit Bunuh Bakteria

  
Serbuk kunyit antara ramuan utama masakan kita. Ia berfungsi memberi warna menarik pada juadah dan menambah aroma dalam masakan. Akan tetapi tahukah anda, bakteria berbahaya yang terdapat dalam isi ikan atau daging akan musnah apabila kedua-dua bahan itu digaul bersama kunyit sebelum digoreng.
   Bukan itu sahaja, kunyit yang terdapat dalam masakan juga berupaya memperbaiki sistem penghadaman mengurangkan gatal dan bengkak pada kulit, menggalakkan pertumbuhan tisu baru dan melangsingkan tubuh.
   Malahan juga kunyit berupaya mengurangkan angin dalam perut, membersihkan sistem hati dari toksin berbahaya dan mengurangkan sakit sendi dan mencegah kanser.

P/s: Begitulah betapa banyaknya khasiat kunyit kepada kita. Kepada sesiapa yang mempunyai sedikit tanah di belakang dapur tu, maka rajin2 lah mengeluarkan peluh menanam pokok kunyit.

Wednesday, 26 October 2011

Kenapa kita perlu mandi?


   
KAJIAN terbaru mengenai mandi menunjukkan ia bukan saja bertujuan membersihkan diri daripada kotoran, tetapi menjauhkan tekanan serta berperanan meningkatkan sistem kekebalan tubuh.
Penyelidikan yang diterbitkan dalam Jurnal Baru Perubatan England mendapati penderita diabetes yang berendam dalam air suam selama 30 minit mampu menurunkan paras gula darah sekitar 13 peratus.

Kajian di Jepun pula menunjukkan 10 minit berendam dalam air panas berkesan memperbaiki kesihatan jantung terutama untuk lelaki manakala mandi susu serta mandi bunga untuk bakal pengantin bukan saja memberikan kesegaran tetapi terapi paling berkesan menghilangkan tekanan selepas seharian bekerja.

Masyarakat zaman dulu percaya mandi bunga mampu menaikkan semangat. Ini kerana haruman daripada tujuh jenis bunga berfungsi menenangkan fikiran manakala warna-warni bunga dapat menceriakan aura penglihatan dan memberi ketenangan.


Mandi susu dan bunga mempunyai pelbagai khasiat. Selain dapat mencantikkan kulit menerusi khasiat susu segar juga memberi ketenangan kepada bakal pengantin.

Biasanya bakal pengantin akan berendam di dalam tab mandi yang dimasukkan bunga-bungaan segar pelbagai warna bersama haruman lavendar selama 30 minit bagi mengharumkan tubuh dan menenangkan fikiran manakala mandi susu menggunakan campuran susu dan bahan wangian berfungsi untuk memutih dan melicinkan kulit. Selepas kedua-duanya selesai, pelanggan dibawa bersauna atau mandi wap yang diakui mempunyai pelbagai khasiat dan kelebihan.

Ramai wanita tidak tahu bersauna bukan saja memberi kebaikan pada fizikal tetapi juga mental. Ini kerana ketika bersauna, kadar pernafasan dan denyut nadi akan meningkat daripada 75 denyutan seminit kepada 100 hingga 150 seminit.

Apabila ini berlaku, ia meningkatkan kadar peredaran darah kerana haba daripada wap akan mengembangkan saluran darah untuk menampung peningkatan pengaliran darah ke seluruh badan.

Proses ini membolehkan badan mengagihkan lebih banyak zat dan nutrien terutama ke bahagian kulit bagi menggantikan sel mati. Oleh itu, kesan yang amat ketara, anda akan kelihatan lebih segar dan muda selama beberapa jam selepas bersauna.

Kesan panas sauna juga melegakan otot, menghilangkan sengal dan kebas badan. Wap daripada sauna dapat membuka liang roma, mengeluarkan kekotoran atau toksin dalam kulit, menjadikan kulit lebih sihat dan rambut tambah bersinar.

“Bukan saja kebaikan untuk luaran, bersauna turut memulihkan kesihatan terutama bagi penghidap resdung, radang paru-paru dan asma. Ini kerana apabila wap ini masuk ke rongga pernafasan dan terus ke sistem peredaran darah, ia akan memberi kesan yang baik pada badan,” katanya.

Bagi bakal pengantin, kesihatan kulit amat penting. Justeru, rawatan lulur yang dilakukan selepas bersauna membantu membuang sel kulit mati, seterusnya menjadikan kulit segar dan cerah. Sebaiknya dilakukan setiap dua minggu sekali bermula tiga bulan sebelum berkahwin bagi mendapatkan hasil yang memuaskan.

Selepas kulit dimanjakan dengan bahan lulur, bakal pengantin dibawa menikmati urutan lembut yang tidak menyakitkan. Urutan ini menggunakan minyak aromaterapi khas sekadar untuk melancarkan peredaran darah dan menghilangkan tekanan selepas penat bekerja.

Bagaimanapun, bakal pengantin tidak digalakkan terlalu kerap melakukan urutan kerana ia hanya sesuai untuk mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai anak saja. Jika mahu melakukan urutan, pastikan memilih urut aromaterapi untuk menenangkan badan serta merehatkan fikiran,” katanya yang berkebolehan mengurut sejak kanak-kanak lagi.

Tuesday, 25 October 2011

Kopi kurangkan risiko kanser kulit

    


Kopi kurangkan risiko kanser kulit


2011/10/26

WASHINGTON: Amalan meminum kopi boleh melindungi seseorang daripada mendapat penyakit kanser kulit terutamanya di kalangan wanita.
Kajian mengenainya yang dibentangkan di sebuah persidangan perubatan utama Amerika Syarikat di bandar raya Boston kelmarin menunjukkan wanita yang meminum lebih tiga cawan kopi berkafein pada setiap hari dapat mengurangkan risiko menghidap kanser kulit yang dikenali sebagai karsinoma sel basal (BCC) sebanyak 20 peratus.
Kajian sama menyatakan lelaki yang mengambil kopi dalam jumlah yang sama dapat menurunkan risiko mereka mendapat BCC sebanyak sembilan peratus.

"Ekoran hampir sejuta kes baru BCC dicatatkan di AS pada setiap tahun, faktor amalan harian seperti meminum kopi dapat memberi kesan besar kepada kesihatan orang ramai dalam memerangi kanser ini," kata penyelidik kajian, Fengju Song. - AFP


Sumber dari berita harian - 26.10.2011

Monday, 24 October 2011

Wanita di usia tua


      
RAMAI wanita risau apabila semakin mendekati usia menopaus. Menopaus sebenarnya adalah permulaan era dalam hidup wanita yang menandakan anda semakin matang. Bagi wanita Islam, ada lebih banyak masa mendekatkan diri dengan Allah dan boleh beribadat dengan tenang kerana tiada keraguan mengenai haid.
Secara purata kitaran haid terhenti pada umur 50 atau 51 tahun. Kajian menunjukkan satu peratus wanita menopaus awal iaitu sebelum 40 tahun. Antara punca yang boleh menyebabkan menopaus awal ialah pembedahan pembuangan ovari (akibat masalah kesihatan), ovari gagal berfungsi dan menerima rawatan kemo atau radioterapi (untuk rawatan kanser).
Penurunan paras hormon estrogen ketika menopaus memberi kesan menyeluruh pada wanita iaitu daripada rambut hingga hujung kaki kerana ia membabitkan perubahan pada otak, rambut, mata, gigi, jantung, tulang, payu dara, kulit dan vagina.

Perubahan ini adakalanya turut mempengaruhi emosi wanita yang sememangnya menjadi sedikit celaru akibat ketidakstabilan hormon. Suami, anak dan ahli keluarga perlu faham perubahan dialami wanita di ambang menopaus dan emosi yang kadangkala tidak menentu kerana ia di luar kawalan wanita.


Walaupun wanita hanya dikatakan mengalami menopaus apabila haidnya berhenti selama sekurang-kurangnya enam bulan (biasanya pada umur 50 atau 51 tahun), perubahan ini boleh berlaku beberapa tahun sebelum itu secara perlahan-lahan dan berperingkat.

Tahap gangguan gejala berbeza antara individu mengikut daya ketahanan masing-masing. Namun, gangguan akibat menopaus tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana satu pertiga hidup wanita adalah selepas menopaus.

Inilah sebabnya sokongan keluarga terutama suami penting supaya wanita dapat menjalani kehidupan sebaik mungkin. Ia bertepatan dengan tema sambutan Hari Menopaus Sedunia tahun ini yang berkisar kepada penuaan sejahtera dalam usia emas.

Sememangnya ada banyak perkara baru yang perlu diambil kira sebaik memasuki era menopaus terutama dari segi kesihatan. Antara yang disentuh dalam artikel pendidikan Berita Menopos (Oktober - Disember 2010) terbitan Persatuan Menopaus Malaysia ialah saringan kesihatan untuk:


  • Payudara – Risiko mendapat kanser payudara meningkat mendadak selepas menopaus. Selain menjalani ujian mamogram setiap tahun, setiap wanita perlu selalu membuat pemeriksaan sendiri payudara di rumah.

  • Tekanan darah – Pada usia begini, tekanan darah memang mudah naik jika tidak menjaga pemakanan. Tekanan darah dan paras kolesterol yang tinggi akan mendekatkan wanita dengan risiko sakit jantung.

    Tahukah anda, selepas menopaus risiko mendapat serangan jantung sama seperti lelaki. Jadi untuk mengelakkannya, rajin-rajinlah bersenam selain menjaga pemakanan. Ia juga secara tidak langsung membantu mengekalkan kelangsingan badan dan membuatkan anda nampak muda.

  • Paras gula darah – Tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan kencing manis digelar penyakit tiga serangkai atau ‘sahabat baik’ kerana ia mempunyai kaitan rapat antara satu sama lain. Berhati-hati jika anda mempunyai ahli keluarga menghidap kencing manis kerana anda juga berisiko tinggi mendapatnya.
    Namun amalan gaya hidup sihat dapat membantu anda menjauhi masalah ini.

  • Kelenjar tiroid – Jika anda berumur lebih 50 tahun dan sering berasa sejuk, sengal, mengalami sembelit dan berat badan mudah naik, berbincanglah dengan doktor sama ada anda memerlukan ujian masalah kelenjar tiroid. 



  • Sumber dari :

  • Harian Metro Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin 25.10.2011